Allah Jadikan Setiap Sesuatu Itu Pasti Ada Hikmahnya

Sunday, May 23, 2010

Khasiat Daun Sirih


Ari-ari Pedih - Ambil sirih bertemu urat, sebiji bauh pala dibenamkan ke dalam abu panas, sebiji pinang yang telah dibelah tiga bahagian serta disapu dengan kapur dan makan pada sebelah pagi, tengahari dan petang. Amalkan selama tiga hari berturut-turut.

Asma - Tujuh helai daun sirih ditumbuk lumat bersama satu sudu teh lada putih dan campurkan minyak kayu putih secukupnya agar menjadi pepesan. Sapukan pada dada pesakit serta leher, amalan ini akan menghilangkan penyakit asma.

- Tujuh helai sirih bertemu urat, tujuh helai daun lalang muda dan seulas lengkuas sebesar ibu jari kaki. Rebuskan dengan satu liter air hingga mendidih sepenuhnya. Minum setengah gelas air rebusan dengan mencampurkan sesudu makan madu lebah serta sesudu teh air limau nipis, sebelum tidur.

Barah - Tiga helai daun sirih bertemu urat dihancurkan lumat berserta kapur sirih sebesar ibu jari kaki dan sesudu makan madu lebah untuk menjadi pepesan. Sapukan tiga kali sehari dibahagian yang sakit.

Batuk Lelah - Daun sirih dilayur dan dituam ke dada pesakit. Air daun sirih diguna untuk minuman kepada pesakit.

Bau Badan - Sapukan adunan tiga helai daun sirih dan sedikit tawas yang telah diramas sama, ke atas badan dan ketiak semasa mandi. Biarkan beberapa ketika dan bilas dengan air bersih.

Bau Mayat - Untuk menghilangkan bau mayat yang melekat pada tangan atau baju setelah menyelesaikan kerja-kerja mandi mayat, ambil beberapa helai daun sirih, ramaskan dan rendamkan bersama baju beberapa ketika sebelum dibilas dengan air bersih.

Bayi Selsema - Beberapa tangkai daun sirih tekan dengan jari hingga mengeluarkan lendirnya, kemudian sapukan pada batang hidung bayi. Cara ini akan melegakan selsema dan pernafasan menjadi mudah.

Berak Darah - Akar korma, gambir dan jintan putih dimakan dengan sirih pinang

Demam - Tujuh helai daun sirih, kemenyan sebesar ibu jari dan tiga ulas bawang merah. Giling halus dan tampalkan di dahi. Lakukan dua kali sehari, cara ini bagi menghilangkan demam dan sakit kepala selepas bersalin.

Demam Panas - Tiga helai daun sirih diramas ke dalam semangkuh air bersih bersama buah pinang muda yang telah dipecah-pecahkan dan jaramkan pada kepala, lakukan beberapa kali sehingga panas badan berkurangan.

Gatal Vagina - Tujuh helai daun sirih direbus dengan dua gelas air, campurkan sedikit asam jawa hingga mendidih. Setelah air menjadi suam bolehlah membasuhnya. Lakukan setiap hari hingga sembuh, terutama untuk ibu-ibu yang baru lepas bersalin.

Gegata - Layurkan daun sirih di atas bara api dan sapukan pada badan yang ditumbuhi gegata. Rasa miang dan gatal akan hilang dengan segera.

Hidung Berdarah - Daun sirih digulung sebesar jari kelingking serta diramas sedikit dibahagian hujungnya untuk mengeluarkan bau dan dimasukkan kehidung yang berdarah. Baringkan pesakit dengan keadaan kepala meninggi.

Kencing - Sekiranya kencing berasa sakit, daun pepesan, sirih bertemu urat, daun pulasari dan bawang merah sebiji dan digiling lumat serta sapukan pada ari-ari dan bahagian pinggang.

Keputihan - Mandi dengan air suam rebusan daun sirih selama tujuh hari untuk membersihkan vagina, rasa gatal dan keputihan akan hilang. Amalan memakan daun sirih setiap hari juga boleh mengelakkan dari masalah keputihan.

- Ambil cendana, telur ayam hitam sebiji dan sehelai sirih. Asahkan cendana dengan sirih dan minumkan dengan kuning telur ayam selama tiga pagi.

Kutu Babi - Petik daun sirih bersama tangkainya. dan titiskan getah sirih ke atas kutu babi yang melekat pada kulit tubuh. ianya akan menjadi senang untuk dicabut.

Lompangan (ulcer) - Tempelan (paste) dari ramuan sirih pinang ditepekkan pada luka untuk menyembuhkan luka dengan cepat pada bibir mulut.

Muntah - Bawang merah, jintan hitam, makan dengan sirih pinang dan semburkan sepahnya dileher dan dadanya

Payu Dara - Untuk menegangkan lagi payu dara, layurkan daun sirih yang telah disapukan dengan minyak zaitun di atas api yang sederhana, atau menggunakan lilin. Apabila daun telah terasa suam dan agak layu, lalu tekapkannya ke atas kedua-dua payu dara dan biarkan seketika. Lakukan dua atau tiga kali seminggu.

Pedih Perut - Lada sulah tujuh butir dan bacakan surah al-Ikhlas tiga kali serta makan dengan sirih pinang serta semburkan sepahnya pada ulu hati.

Penyakit Kelamin - Sepah sirih dihasilkan samada secara kunyahan atau ditumbuk lumat dan disapukan pada bahagian yang sakit.

- Giling lumat daun sirih, sedikit gula merah dan sedikit garam rebuskan hingga sebati, minum airnya sebanyak tiga kali sehari hingga sembuh.

Ruam Peluh - Rebuskan beberapa helai daun sirih dan tapiskan airnya. Sapukan air rebusan ke atas ruam dua kali sehari selama tiga hari berturut-turut.

Sakit Gigi - Kunyah sepiak sirih hingga lumat pada gigi yang sakit. Untuk beberapa ketika sakit gigi akan berkurangan.

Sakit Hati - Bawang putih sepuluh ulas, garam jantan sebuku, sedikit jemuju dan sehelai daun sirih bertemu urat. Tumbuk lumat ramuan tersebut dan bubuhkan air panas sebelum diminum. Amalkan selama tiga pagi, dan ambil segengam garam serta goreng sangan (goreng tanpa minyak), bungkuskan ke dalam kain bersih serta tuamkan kebahagian hati di atas dada.

Sakit Jantung - Untuk meredakan sakit jantung, renekkan tiga helai daun sirih bertemu urat berserta lada ekor dan minum airnya ketika masih suam. Lakukan selama tujuh hari berturut-turut diwaktu pagi.

Sakit Kepala - Daun sirih diramas kedalam air sejuk serta dimasukkan seketul garam jantan untuk di buat jaram (disapu atau dititik sehingga membasahi kulit kepala).

Sakit Mata - Ramaskan beberapa helai daun sirih muda dan masukkan ke dalam air serta didihkan seketika, tapiskan dengan kain bersih ke dalam mangkuk dan biarkan hingga pesam-pesam kuku. Rendamkan mata yang sakit serta kelip-kelipkannya. Buat berulang kali sehingga sembuh.

No comments:

Post a Comment